Siapakah Orang Inggeris Pertama Yang Mendaki Bukit Larut?

bantu kami teruskan operasi : donate

Jika berkunjung ke Taiping, sudah tentu ramai yang mengetahui akan kewujudan Bukit Larut sebagai sebuah tempat yang berhawa dingin dan mendamaikan selain mempunyai permandangan yang indah. Dari atas puncak bukit yang dahulunya dikenali Maxwell Hill ini pengunjung dapat melihat permandangan bandar Taiping dan jika bernasib baik pada hari yang cerah, Pulau Pinang di utara dan Pulau Pangkor yang berada di selatan turut dapat dilihat dari kejauhan. Maklumat selanjutnya mengenai Bukit Larut anda boleh baca dengan klik link disini.

Artikel kali ini bukanlah untuk menceritakan sejarah Bukit Larut, namun ingin berkongsi mengenai detik sejarah siapakah orang Inggeris pertama yang berjaya mendaki puncak Bukit Larut ini. Selepas Perjanjian Pangkor ditandatangi pada tahun 1874, seorang Residen British telah dilantik pada 2 November 1874 iaitu J.W.W. Birch yang sebelum ini merupakan pegawai kerajaan Inggeris di Ceylon (sekarang Sri Lanka). Ini disebabkan pihak pentadbiran British percaya dengan pengalaman Birch bertugas di Ceylon dapat digunakan untuk menangani permasalahan dengan orang Melayu kelak.

Bukit Larut

Sebaik sahaja dilantik sebagai Residen Perak, Birch telah mengambil inisiatif untuk menjelajah seluruh pelusuk negeri Perak bagi mengetahui dengan lebih mendalam masyarakat dan budaya sebuah negeri baru bagi beliau. Dalam kebanyakkan siri jelajah yang dilakukan oleh Birch, beliau sering ditemani oleh seorang pegawai muda Inggeris yang bernama Frank Swettenham. Setiap pemerhatian yang dilakukan oleh Birch terhadap penduduk dan kawasan dalam negeri Perak ini akan dicatitkan dalam nota selain diambil gambar.

J.W.W. Birch

J.W.W. Birch Residen British Perak Pertama

Disebabkan itu, dipercayai bahawa J.W.W. Birch merupakan orang Inggeris pertama yang berjaya mendaki sehingga ke puncak Bukit Larut. Ini dikuatkan lagi dengan sebuah batu peringatan yang didirikan diatas puncak bukit ini yang menyebut “THE FIRST ENGLISHMAN TO CLIMB THIS HILL WAS MR T.W.W. Birch, FIRST BRITISH RESIDENT OF PERAK IN 1875”. Ejaan T.W.W. Birch tersebut merupakan kesilapan pengukir kerana semua sedia maklum bahawa Residen British Perak yang pertama ialah J.W.W. Birch.

Batu Peringatan

Batu Peringatan Orang Inggeris Pertama Mendaki Bukit Larut

Terdapat juga beberapa pihak yang meragui fakta mengenai orang Inggeris pertama yang berjaya mendaki puncak bukit tersebut dengan menyatakan bahawa Birch dibunuh pada tahun 1875. Namun pada hakikatnya, Birch dibunuh pada 4 November 1875 dan batu tersebut tidak menyebut bulan berapakah dalam tahun tersebut Birch mendaki Bukit Larut. Batu peringatan tersebut kemudiannya ‘hilang’ diliputi semak samun akibat tidak berjaga dan akhirnya ditemui semula oleh pihak yang berusaha menjejaki batu tersebut.

Bukit Larut 2

Permandangan Bandar Taiping dari Bukit Larut

Setelah berakhirnya Perang Perak pada tahun 1876, pihak Inggeris telah memindahkan ibu negeri Perak dari Bandar Baru, Kg Gajah ke Taiping. Disebabkan suasana tropika Malaya yang agak panas buat orang Inggeris yang berkhidmat disini, mereka menjadikan Bukit Larut sebagai tempat untuk mereka beristirehat dengan membina banyak rumah-rumah peranginan disebabkan suasana nyaman dan dingin disitu. Bukit Larut kemudiannya dinamakan sebagai Maxwell Hill pada tahun 1884 sempena nama Pembantu Residen British di Perak pada waktu itu.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.