Sejarah Dan Asal Usul Tanjung Malim

Tanjung Malim terkenal di negeri Perak sebagai sebuah bandar yang menglahirkan ramai cendekiawan dan pejuang-pejuang bangsa. Di bandar ini jugalah asal naiknya semangat nasionalisma di kalangan orang-orang Melayu untuk menentang penjajah dan mengembalikan kedaulatan bangsa Melayu di Tanah Melayu. Pada kali ini, orangperak.com ingin mengangkat kembali kisah sejarah asal usul wujudnya Tanjung Malim ini agar lebih diketahui terutamanya buat generasi muda dan tidak dilupakan sejarah dengan begitu sahaja .

Tanjung Malim ini asalnya bermula daripada sebuah tanjung (kawasan tanah yang wujud daripada hakisan sungai) yang sangat luas. Tanjong Malim merupakan sebuah pekan yang terletak di selatan negeri Perak Darul Ridzuan. Pekan ini bersempadan dengan negeri Selangor Darul Ehsan dan bersempadan topografi dengan negeri Pahang Darul Makmur. Dengan berlatarbelakangkan Banjaran Titiwangsa dan kedudukan pekannya di pinggir Sungai Bernam menjadikan pekan Tanjong Malim sebuah pekan pintu masuk ke negeri Perak yang menarik untuk dilawati.

tanjung malim

Kawasan ini pada awalnya diterokai oleh enam orang pahlawan Bugis dan dinamakan sebagai Tanjung Jambu. Pada sekitar tahun 1870, berlakunya perang saudara yang besar di negeri Pahang diantara dua orang anak Bendahara Pahang yang bernama Wan Ahmad dan Wan Mutahir. Disebabkan itu, Dato’ Hj. Mustapha bin Raja Kamala yang merupakan pengikut Tok Gajah @ Imam Perang Rasu dan beliau juga salah seorang diantara ketua kaum Rao di Gali, Raub telah membawa pengikutnya dikalangan orang Rao berhijrah ke Tanjung Malim.

Diceritakan bahawa, beliau telah mewakili orang Rao di Gali, memohon keampunan daripada Bendahara Wan Ahmad kerana Rao sama Rao berperang di Pahang. Disebabkan rasa malu beliau kepada Tok Gajah jugalah beliau mengambil keputusan untuk membawa semua pengikutnya untuk berpindah ke Tanjung Malim. Dato Hj Mustapha pernah memerintahkan anak buahnya iaitu Panglima Kanan untuk mengambil adik sepupunya yang masih ada di Nagari Kota Raja, Rao iaitu Hajah Rahmah Bt. Haji Siun untuk dibawa ke Bernam atau Tg. Malirn.

Panglima Kanan kemudiannya berkahwin dengan Hajah Rahmah. OIeh kerana Panglima Kanan pada asalnya telah berkahwin dengan orang yang berasal dari Kampung Simpang Empat Tanjung Malim, Hajah Rahmah telah membuat keputusan untuk tidak mahu dimadukan. Disebabkan peristiwa itu berlakunya pergolakkan keluarga. Panglima Kanan pun kemudiannya menceraikan isteri tuanya dengan alasan tiada mempunyai zuriat sepanjang bersamanya.

Oleh yang demikian, Dato’ Hj. Mustapha memerintahkan supaya Panglima Kanan berhijrah ke seberang Sungai Bernam dimana Panglima Kanan membuka kawasan Kalumpang pada tahun. Nama Kalumpang ini diambil sempena nama sebatang pokok yang bernama pokok Kelumpang dan di kawasan itulah Panglima Kanan mendirikan penempatan bersama pengikutnya ditempat yang dikenali sebagai pekan Kalumpang sekarang ini. Pada masa itu juga Bernam atau Tanjung Malim masih berada di bawah pemerintahan Selangor.

tanjung malim

Dato’ Hj. Mustapha dilantik sebagai Penghulu Bernam atau Tanjung Malim yang pertama dan Panglima Kanan pula dilantik menjadi pembantu Penghulu Bernam. Kalumpang pada masa itu adalah di bawah pentadbiran Tanjung Malim dan inilah perkaitan diantara Tanjung Malim dan Kalumpang pada zaman tersebut. Apabila sempadan negeri Perak dan Selangor telah ditetapkan dengan mengikut aliran Sungai Bernam, Tanjung Malim secara rasmi berada dalam pemerintahan negeri Perak dan Kalumpang pula berada di bawah pemerintahan Selangor sehinggalah ke hari ini.

Sebagai memperingati atau mengenang jasa Dato’ Hj Mustapha, kerajaan Perak telah bersetuju atas permintaan kaum kerabatnya untuk menamakan jalan di kawasan Kampung Kubu yang berada berhampiran dengan kawasan stesen bas lama Tanjung Malim, sebagai Jalan Hj. Mustapha Bin Raja Kamala. Adalah dimaklumkan makam Allahyarham Dato’ Hj. Mustapha berada di kawasan tanah perkuburan Cabang, Tanjung Malim.

Pernah diceritakan pada suatu ketika dahulu, Almarhum Sultan Pahang Sultan Abu Bakar pernah menziarahi kubur Dato’ Hj. Mustapha tanpa protokol. Ini kerana Tun Dato Hj. Mustapha dahulu pernah menjadi ketua kaum orang Rao di Gali dan pengikut setia Tok Gajah. Almarhum Sultan Abu Bakar datang ke Tanjung Malim untuk menghormati kesetiaan beliau keatas moyang baginda Sultan Ahmad Shah pada zaman tersebut.

Sempena dengan kedudukan tanjung yang sangat luas ini, Tuan List (wakil kerajaan Negeri Selat) dan Raja Itam telah menamakan bandar ini dengan nama Tanjong, manakala perkataan Malim (mu’alim) berkaitan dengan penduduk di kawasan Tanjong itu yang sangat rajin beribadat pada ketika itu. Sejak dari dulu lagi pekan ini lebih dikenali sebagai Bandar Pendidikan. Bidang pendidikan adalah sinonim dengan pekan ini kerana terdapatnya pusat pengajian tinggi di sini, iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang pada awalnya ditubuhkan dengan nama Sultan Idris Training College (SITC) pada tahun 1922 yang berjaya melahirkan ramai cendekiawan dan golongan profesional.

tanjung malim

Dari segi bentuk muka buminya, Tanjong Malim merupakan sebuah kawasan tanah bercerun landai dan dikelilingi oleh bukit bukau (Banjaran Titiwangsa). Kedudukan bandarnya terletak 84 km ke utara Kuala Lumpur dan 145 km ke selatan ibu negeri Perak, iaitu Ipoh.

Selain dikenali sebagai Bandar Pendidikan, Tanjong Malim juga berpotensi untuk menjadi sebuah bandar yang pesat membangun di kawasan selatan Perak. Berasaskan kegiatan ekonomi yang sedia ada dan perancangan industri yang akan dirancangkan seperti industri automobil, perladangan dan perkilangan, Tanjong Malim dijangka bakal menjadi sebuah bandar yang pesat membangun di selatan Perak. Pendapat ini yang mula diperkatakan sejak dahulu lagi telah diperkukuh dengan pembinaan kilang kereta nasional, Proton di Bandar Proton dan pembangunan kawasan-kawasan perumahan baharu, kawasan rekreasi dan lain-lain .

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.