Rumah Kutai, Identiti Perak Yang Semakin Pupus

Negeri Perak terkenal sebagai sebuah negeri yang mempunyai kekayaan seni bina binaan baik bangunan-bangunan kerajaan, rumah-rumah ibadat mahupun kediaman. Ianya banyak dipengaruhi juga hasil percampuran dengan pengaruh suku-suku seperti Bugis, Rao, Banjar, Cina serta Inggeris yang datang berhijrah, berniaga dan mentadbir di Perak.

Kali ini orangperak.com ingin menyentuh mengenai warisan seni bina yang hanya terdapat di negeri Perak namun semakin dilupai iaitu Rumah Kutai supaya semua orang terutama generasi kini serta rakyat negeri Perak lebih mengetahui mengenai sejarah seni bina Rumah Kutai ini.

Senibina warisan Rumah Kutai ini hanya boleh didapati di negeri Perak Darul Rizuan dan tiada di negeri-negeri lain. Maksud Rumah Kutai atau juga disebut ‘Kotai’ adalah lama atau tua. Tidak dapat dinafikan bahawa Rumah Kutai adalah merupakan satu-satunya jenis Rumah Melayu Tradisional di Negeri Perak yang masih didiami oleh penduduk tempatan sejak lebih 200 tahun dahulu dan sehingga kini ia masih berdiri megah di atas muka bumi.

Rumah Kutai

Namun begitu, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa penduduk tempatan Perak terutama generasi kini tidak mengetahui adanya Rumah Kutai iaitu rumah lama di Negeri Perak, apatah lagi bagi orang-orang luar dari Negeri Perak.

Keunikan Rumah Kutai ini adalah dari segi kehalusan ukiran yang terdapat pada pintu, bukaan tingkap, dinding dan penggunaan tanggamnya yang pelbagai. Ianya turut diperkuatkan lagi dengan kisah lama yang tersimpan sejak dahulu berkaitan dengan sejarah pembinaan dan penghuni rumah berkenaan.

Jika dilihat kepada keunikan senibinanya, ternyata ia tidak dapat dipisahkan dari beberapa pengaruh senibina luar, terutama sekali pengaruh senibina Rumah Aceh dan Rumah Adat Bugis dari Sumatera. Namun begitu, beberapa ciri tertentu dalam senibina dan bahan-bahan strukturnya masih tetap dengan identitinya yang tersendiri, iaitu sebagai senibina penduduk tempatan Negeri Perak.

Ciri-ciri khas ini terutamanya dapat dilihat pada ragam hias lebah bergantung dan penggunaan daun tepas berkelarai pada muka tebar layarnya. Rumah Kutai terdiri daripada dua jenis, iaitu Rumah Kutai Tiang 12 dan Rumah Kutai Tiang 16. Kedua-dua jenis Rumah Kuti ini mempunyai struktur yang sama.

Bagi Rumah Kutai Tiang 12, rumah ibunya terdiri daripada enam batang tiang panjang dan enam batang tiang serambi naik. Jika dipandang dari arah hadapan rumah, tiang-tiangnya tersusun dalam tiga baris, dan masing-masingnya mempunyai empat batang tiang, iaitu dua tiang panjang dan dua tiang serambi sama naik.

Dengan itu Rumah Kutai Tiang 12 ini juga disebut ‘Rumah Dua Ruang’. Biasanya Rumah Kutai Tiang 12 mempunyai tapak ibu rumahnya dalam bentuk empat persegi tepat, iaitu dalam keluasan 30’ x 30’ persegi. Manakala Rumah Kutai Tiang 16 masih banyak terdapat di Negeri Perak, sepertimana di kampung-kampung yang telah disebutkan sebelumnya.

Struktur bangunan Rumah Kutai Tiang 16 ini masih lagi menggunakan 16 tiang utama, iaitu lapan tiang panjang dan 8 tiang serambi sama naik. Kedudukan tiang-tiangnya ialah empat baris memanjang dan empat baris melebar, tetapi keluasan tapaknya tidak berbentuk empat segi bujur sebaliknya empat segi sama.

Rumah Kutai

Penggunaan lantai jeria, struktur bumbung dengan sistem teknologi yang unik, bentuk pintu gelangsar dan bentuk tingkapnya yang tersendiri memang tidak pernah terdapat pada lain-lain unsur senibina Rumah Melayu Tradisional baik di Malaysia ataupun di kawasan serantau sebagaimana berikutnya:

  • Tunjuk langit
  • Titi tikus
  • Tingkap bulat bermotif bunga
  • Tingkap jenguk berkerawang dan berjeriji
  • Papan kembung berukir
  • Kaki gajah
  • Lebah bergantung
  • Kucing berlari
  • Papan cantik
  • Tanggam tebuk

Rekabentuk sesebuah Ruah Kutai banyak dipengaruhi oleh beberapa faktor, di mana ruang lingkupnya juga menentukan komponen bangunan dan susunan ruang-ruang yang terdapat di dalam sesebuah rumah. Antara komponen ruang yang lazim terdapat pada Rumah Kutai ialah seperti ruang serambi, rumah ibu, selang dan rumah dapur sebagaimana yang ditunjukkan dalam gambarajah berikutnya:

  1. Serambi – Dikhaskan untuk kaum lelaki dan di situlah tetamu lelaki duduk semasa kenduri-kendara dan untuk menjalankan pelbagai aktiviti lain. Di waktu malam ruang ini digunakan sebagai tempat tidur anak teruna.
  2. Rumah Ibu – Pada rumah ibunya terdapat ruang serambi dan kadangkala sebuah bilik kecil, tetapi ruang bilik hanya wujud kemudian dan dikhaskan untuk bilik anak dara. Di zaman dahulu seluruh bangunan rumah ibu tidak mempunyai sekatan dan untuk membuat sempadan di antara ruang serambi dengan ruang tengah yang di khaskan untuk kaum perempuan, hanya dibataskan oleh sebuah bendul dengan ketinggian 5cm. Kedudukan lantai pula tidak sama paras antara serambi dengan ruang tengah.
  3. Selang – Selain menjadi lorong atau tempat laluan di antara kedua bangunan, ia merupakan tempat berbual atau menjalankan pelbagai aktiviti bagi kaum perempuan. Pada zaman dahulu ruang ini tidak berbumbung dan berdinding, jadi ruang tersebut dapat digunakan sebagai tempat penjemuran kain, juga sebagai tempat menakung air hujan. Anak-anak gadis di zaman dahulu menggunakannya sebagai tempat membasuh. Ruang seperti ini biasanya disebut pelantar selang atau jemuran selang setelah beratap dan berdinding, dikenali sebagai selang atau selasar.
  4. Rumah Dapur – Rumah dapur pula lebih kecil daripada rumah ibu, biasanya berbentuk rumah bujang, yakni tidak memakai serambi. Ia digunakan sebagai tempat memasak dan dengan itu apa jua alat keperluan dapur disimpan di situ. Sebuah tangga dan pelantar terdapat di tepinya dari pintu dapur yang berpelantar dan ia sering digunakan oleh kaum ibu untuk ke sungai atau ke perigi bagi tujuan mengambil air, mandi-manda dan sebagainya.

Antara faktor yang menyumbang kepada kepupusan rumah kutai ini adalah disebabkan oleh masyarakat yang kurang peka tentang khazanah warisan ini samada dari nilai sejarah mahupun kehalusan senibina rumah itu sendiri. Kemajuan teknologi dan pemodenan membuatkan pembinaan Rumah Kutai sudah dilupakan dan rumah yang masih gah berdiri juga tidak lagi berpenghuni atas faktor penghijrahan mahupun kematian pemilik.

Menjelang awal kurun ke-20, senibina Rumah Kutai tidak lagi menarik perhatian rakyat tempatan Negeri Perak. Ini disebabkan oleh pengaruh senibina Rumah Limas mula diperkenalkan di Negeri Perak dan rekabentuk Rumah Limas ini nampaknya dapat memberi keselesaan dan beberapa kemudahan tertentu memandangkan saiznya yang lebih besar.

Rumah Kutai

Jika ditinjau dari segi sistem pembinaan rumah berbentuk ini, ternyata ia lebih mudah berbanding dengan Rumah Kutai. Maka tidak hairanlah dalam waktu yang singkat sahaja pengaruh senibina Rumah Limas seperti Rumah Bumbung Limas Perak, Rumah Limas Moden dan Rumah Limas Bungkus telah berjaya menambat hati penduduk tempatan pada ketika itu. Perkembangan pembinaan senibina Rumah Limas yang tidak dapat dibendung ini seterusnya menyebabkan senibina Rumah Kutai tidak lagi diminati malah terus dipinggir oleh penduduk tempatan di Negeri Perak.

Antara sebab lain mengapa senibina Rumah Kutai tidak dapat berkembang ke seluruh Negeri Perak adalah kerana hubungannya dengan sistem pemerintahan beraja pada ketika itu di mana senibina Rumah Kutai adalah hanya untuk kediaman anggota keluarga raja pemerintah dan orang-orang besar yang mempunyai kaitan dan hubungan yang rapat dengan istana sahaja.

Dengan itu petempatannya hanya terdapat tidak jauh dari pusat kerajaan yang terletak di pinggir Sungai Perak, terutamanya di daerah Hilir Perak, Perak Tengah dan Kuala Kangsar. Selain daripada itu juga, Undang-undang 99 yang dikuatkuasakan oleh sistem pemerintahan beraja pada ketika itu turut mensyaratkan agar semua Rumah Kutai yang dibina, susunatur pandangan hadapannya hendaklah mengadap ke tebing sungai yang merupakan nadi perhubungan utama masyarakat tempatan pada ketika itu.

Disamping itu juga, peraturan-peraturan di zaman tradisional yang bersifat ‘kasta’ dan darjat adalah salah satu sebab mengapa Rumah Kutai tidak dapat berkembang dengan baik bahkan jika ditinjau dari segi penempatannya pula, jelas sekali ia mempunyai kaitan dengan soal ini dan dengan itu ia hanya terdapat di sekitar pusat-pusat kerajaan saja.

Rumah Kutai

Kepupusan Rumah Kutai secara umumnya boleh berlaku atas banyak sebab. Antaranya ialah tiada penjagaan yang baik ke atas Rumah Kutai berkenaan menyebabkan rumah ini mudah rosak. Bahan pembinaan yang digunakan seperti kayu membolehkan ia mudah diserang oleh serangga pemakan kayu seperti kumbang perosak dan anai-anai.

Selain daripada itu, faktor cuaca di negara ini juga boleh menyebabkan struktur kayu sesebuah Rumah Kutai mudah mereput dan dilitupi oleh cendawan dan kulat. Sehubungan dengan itu, sekiranya tiada tindakan susulan dilakukan dengan kadar segera, nescaya Rumah Kutai yang amat bernilai dari kesan sejarah dan senibinanya ini akan musnah menyembah bumi.

Seterusnya jika ia tidak dipulihara dari sekarang, adalah tidak mustahil pada suatu hari nanti Rumah Kutai yang sedia ada ini dan Rumah Kutai yang lain akan terus pupus dan lenyap selamanya.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.