Pusara Pejuang Kemerdekaan Malaysia Di Taiping

Siapa sangka di tengah-tengah kesibukan bandar Taiping, terdapat sebuah pusara milik Dr Burhanuddin Al-Helmy yang disemadikan di Masjid Lama Taiping sejak tahun 1969. Pemilik nama sebenar Amir Burhanuddin bin Ungku Muhammad Noor ini merupakan salah seorang tokoh yang berjasa dalam memperjuangkan kemerdekaan negara Malaysia.

Kubur Dr Buhanuddin Alhelmy

Beliau dikatakan seorang tokoh pejuang negara yang tiada tolok bandingnya oleh Prof Emiritus Tan Sri Dato’ Khoo Kay Kim dimana beliau adalah sosok tokoh pejuang negara yang mewaqafkan dirinya untuk kemerdekaan negara dalam tiga zaman iaitu sebelum, semasa dan selepas kemerdekaan Malaysia.

Dr Buhanuddin Alhelmy

Untuk makluman pembaca orangperak.com, gelaran Al-Helmy diberikan kerana beliau seorang yang berperibadi lemah lembut dan disenangi oleh banyak pihak sepanjang berurusan dengan beliau. Beliau juga pemegang gelaran Doktor kerana beliau adalah seorang anak Melayu yang merupakan Pengasas Perubatan Homeopathy Malaysia termasuk banyak menulis buku mengenai pengubatan tersebut. Selain itu, beliau juga mendapat PhD di Universiti Aligarh, New Delhi, India di dalam bidang Falsafah dan Sastera, Bahasa Inggeris, Perancis, German, dan Perubatan Homeopati.

Antara karya penulisan beliau yang banyak menceritakan berkenaan perjuangan dan politik adalah seperti berikut :

  • Perjuangan Kita (1946)
  • Falsafah Kebangsaan Melayu (1947)
  • Agama & Politik (1954)
  • Ideologi Politik Islam (1957)

Untuk pengetahuan pembaca orangperak.com, beliau telah dianugerahkan Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 27 November 2015.

Antara lokasi yang dinamakan sempena mengenang jasa beliau :

  • Jalan Burhanuddin Helmi di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur
  • Persiaran Burhanuddin Helmi di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Doktor Burhanuddin di Taiping, Perak
  • Sekolah Rendah Islam Burhanuddin Al-Helmy di Alor Setar, Kedah
  • Kolej Burhanuddin Helmi, Kolej Kediaman, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor

Papantanda Kubur Dr Buhanuddin Alhelmy

Beliau pernah ditahan oleh penjajah British di bawah ISA di akhir hayat beliau disebabkan oleh perjuangan beliau yang lantang pada waktu itu. Dikatakan juga, kesan daripada penyakit lelah yang dideritainya di dalam tahanan turut menjadi salah satu punca kematiannya pada Oktober 1969.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan semangat perjuangan beliau dapat dirasai oleh generasi yang akan datang.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.