Penjan Ubi Kayu, Makanan Tradisi Perak Yang Kian Pupus

bantu kami teruskan operasi : donate

Penjan Ubi Kayu, Makanan Tradisi Perak Yang Kian Pupus. Ramai dikalangan kita dari golongan dewasa yang biasa menikmati keenakan rasa Penjan Ubi Kayu di atas pangkin hadapan rumah di waktu petang. Rasanya cukup lazat jika dinikmati bersama secangkir kopi. Namun begitu, ramai dikalangan orang muda yang rata-ratanya sudah tidak mengenali apakah itu Penjan Ubi Kayu. Jadi untuk mengangkat kembali hidangan tradisi yang hanya terdapat di negeri Perak ini, orangperak.com ingin berkongsi ramuan Penjan Ubi Kayu kepada anda semua supaya ianya tidak hilang ditelan masa.

Penjan Ubi Kayu ini mempunyai rasa yang manis serta tidak susah untuk disediakan. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat ramuan Penjan Ubi Kayu ini juga mudah diperolehi seperti ubi kayu (dibuang kulitnya), daun pandan, gula merah, gula melaka, bancuhan tepung jagung serta air.

Penjan Ubi Kayu

Proses untuk menyediakan ramuan ini ialah hendaklah ubi kayu direbus terlebih dahulu dalam jangka masa sejam atau lebih sehingga ubi tersebut empuk. Kemudian toskan ubi dari air rebusan tersebut dan potong ubi kepada kepingan kecil, mengikut kesesuaian cita rasa anda.

Langkah seterusnya, campurkan gula melaka, gula merah, daun pandan berserta air ke dalam periuk dan didihkan sehingga semua bahan-bahan tersebut sebati. Kemudian masukkan ubi yang sudah direbus tadi ke dalamnya dan biarkan masak untuk seketika. Apabila ramuan tersebut telah mendidih, gunakan bancuhan tepung jagung untuk melikatkan kuah penjan ubi kayu tersebut. Resepi ini juga boleh dipelbagaikan resepi mengikut citarasa dan kreativiti sendiri.

Penjan Ubi Kayu

Setelah selesai dimasak, hiaskan hidangan dengan daun pandan untuk menaikkan aroma wangi pandan kepada manisan ini dan sekaligus menambah selera buat tetamu. Buat mereka yang tidak pernah memasak hidangan ini, ianya perlu dimasak mempunyai teknik tertentu supaya ubi yang direbus menjadi gebu, masak di dalam dan tidak hancur bersama air rebusan. Namun ianya tidaklah begitu susah untuk dilakukan.

Selamat mencuba dan bersamalah kita kembali memartabatkan resepi tradisi agar tidak hilang ditelan zaman.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.