Papan Iklan Berbaur Lucah Sepanjang Lebuh Raya

Iklan lucah dengan melayu berpisah tiada. Itulah tomahan dan kritikan yang diberikan oleh pengadu merangkap pembaca setia orangperak.com kepada kami supaya memaparkan aduan beliau sebagai artikel disini pada kali ini. Menurut beliau, sudah berkali-kali aduan dibuat kepada pihak berwajib berkenaan dengan iklan-iklan berbaur lucah ini, namun tiada tindakan yang dibuat mungkin kerana ada yang mendapat habuan masing-masing untuk pihak tertentu meletakkan iklan yang tidak sesuai di sepanjang lebuh raya di Malaysia.

Inilah hakikat yang kita terpaksa terima dan telan. Seringkali memandu di lebuh raya pantai barat terutamanya mesti akan ternampak iklan-iklan yang berbaur lucah dan seangkatan dengannya. Ia adalah amat jelas tidak sesuai kegunaan tagline sebegitu kerana terdapat anak-anak yang memandang keluar semasa sedang melalui lebuh raya. Apakah pandangan anda jika anak-anak tanya, “Abah, ape yang lepas subuh baru cabut?” Cuba anda sebagai pembaca sekarang pandang wajah anak anda dan bayangkan anak anda tanya soalan yang sama. Tidak tercengang anda hendak menjawabnya?

Untuk menarik perhatian orang ramai, mereka yang berkaitan ini sanggup memperjudikan masa depan anak-anak dengan memaparkan iklan-iklan yang berbaur lucah ini. Adakah mereka tidak fikirkan hal-hal lain melainkan keuntungan dan untuk memudahkan agen-agen mereka menjual kerana ramai sudah tahu fungsi produk kerana telah sampai ke minda pengguna lebuh raya? Sudah tidak ada kesopanan dan adab dalam perniagaan. Mencari rezeki memanglah halal, tapi pastikan kena dengan adab, tidak menipu, jujur, ikhlas, mengikut undang-undang agama dan negara.

Apa yang kita dapat lihat sekarang, produk makanan tambahan, ubat-ubatan, produk kecantikan dan lain-lain yang berkaitan umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan. Nasihat pengadu kepada pengguna, jangan mudah terpedaya dengan lambakan produk-produk yang ada di pasaran atas talian dan di kedai-kedai jamu kerana kebanyakan darinya tidak mendapat kelulusan KKM sepenuhnya. Yang ada hanyalah nombor notifikasi sahaja. Buat produk sendiri pun bukan susah sekarang, pergi sahaja ke kilang-kilang yang menawarkan OEM, anda boleh buat 1,000 unit dengan harga yang berpatutan. Kemudian jual semula dengan harga yang tinggi. Tetapi ingat, nak menjual bukannya mudah, sebab itulah rata-rata menggunakan jalan mudah dengan membuat iklan-iklan berbaur lucah supaya mudah untuk dikenali ramai dan senang terjual. Inilah realiti permainan yang berlaku dalam bidang ini dalam negara kita.

Ada juga produk yang dibeli dari negara jiran secara lambak dengan harga yang murah dan dibuat pembungkusan semula di dalam negara kita serta dijual semula dengan harga yang lebih tinggi. Peringatan buat anda, psikologi pengguna untuk barangan yang mahal sudah semestinya berkualiti tinggi adalah lumrah alam namun anda harus sedar pada hari ini bahawa apa yang berlaku adalah sebaliknya. Pengguna membeli harapan dan bukannya membeli produk yang memberi keberkesanan, ini bukan cubaan! Banyak produk-produk yang ada di pasaran sekarang tidaklah berkualiti tetapi dijual dengan harga yang tinggi.

Biarlah ada perasaan malu dan ada sifat untuk membantu pengguna, bukanlah untuk mengaut keuntungan semata-mata. Itulah realiti yang berlaku pada hari ini. Rata-rata menjual produk kesihatan, produk kecantikan dan lain-lain hanyalah memandang pada keuntungan semata-mata dan tidak memikirkan risiko yang bakal dihadapi oleh pengguna. Tambahan pula 2017 adalah tahun yang mencabar dan ramai yang memberi alasan berniaga di media sosial facebook adalah jalan untuk mencari wang tambahan. Adakah niat untuk membantu pengguna ini mitos atau fakta? Tepuk dada, tanyalah hati.

Dalam pemerhatian krew kami orangperak.com , memang terdapat iklan berbaur lucah di kawasan lebuh raya dalam negeri Perak dan menurut pengadu lagi, sudah berkali-kali surat aduan dihantarkan ke pihak pewajib negeri Perak untuk tindakan segera supaya tiada lagi iklan berbaur lucah yang terpampang untuk tatapan umum. Pesanan terakhir daripada beliau untuk mereka yang berkaitan, “Tolong ada sifat malu dalam perniagaan, tolong jaga adab sebagai seorang manusia, tolong jaga bahasa jika anda mahu dihormati, tolong ingat tuhan, jika anda ada agama, tolong turunkan iklan anda jika anda terasa!”.

Ini adalah kritikan terbuka dari seorang yang bernama Kadir Sidek 49 tahun dari Taiping, Perak. Jika anda ada aduan untuk dikongsikan bersama, anda boleh terus hantarkan aduan melalui whatsapp kami di talian 014 605 0005. Usah risau kerana butiran pengadu akan dirahsiakan sepenuhnya bergantung pada permintaan pengadu. Inilah cara untuk anda lontarkan aduan yang tidak dapat sambutan, kami bantu anda untuk kongsikan pada umum.

Update : Pihak Majlis Daerah Kerian telah mengambil tindakan dengan menurunkan papan iklan berbaur lucah ini. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Majlis Daerah Kerian kerana bertindak pantas dan sangat efektif menjalankan tugas!

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.