Misteri Kota Raja Bersiong Di Selama

Kebanyakan ramai yang tahu akan kewujudan kisah cerita rakyat tentang penceritaan Raja Bersiong yang amat sinonim dengan lokasi di Baling, Kedah namun tidak ramai yang tahu bahawa ada kisah yang diceritakan tentang pengembaraan Raja Bersiong ke negeri Perak. Ramai juga yang tidak tahu akan kewujudan Kota Raja Bersiong yang telah lama wujud di dalam mukim Ijok, Selama. Walau apa pun ceritanya, adalah menjadi persoalan tentang adakah Raja Bersiong ini mitos atau benar-benar wujud sebenarnya?

Kisah cerita yang dianggap sebagai mitos tentang kezaliman Raja Bersiong adalah seorang raja yang minum darah rakyatnya pernah difilemkan sekitar tahun 1968 dengan lakonan Ahmad Mahmud, Sarimah dan Nor Azizah. Di dalam filem ini, Raja Bersiong digambarkan sebagai seorang yang amat dahagakan darah gara-gara kecuaian tukang masaknya menitiskan darah ke dalam masakan. Ini sebenarnya adalah salah satu versi dari kisah yang disampaikan melalui lisan sejak dari dahulu.

kota raja bersiong

Untuk pengetahuan anda pembaca setia orangperak.com, lokasi kisah raja yang ke empat daripada keturunan Merong Mahawangsa ini terletak bersempadan dengan Perak iaitu Baling di Kedah. Apakah kaitan kisah Raja Bersiong dari Kedah ini dengan Perak? Dalam artikel ini dikisahkan dengan penceritaan tentang peristiwa sewaktu Raja Bersiong hendak lari melindungi diri apabila diburu menteri dan rakyat di Kedah.

Persinggahan Raja Bersiong di Ijok, Selama bersama-sama dengan pengiring setianya telah membina tempat berlindung di kawasan tersebut yang kini dikenali dengan nama Kota Raja Bersiong. Menurut penduduk setempat, sewaktu Raja Bersiong tiba di kawasan ini taringnya telahpun dibuang ketika di Baling.

Kononnya di lokasi Kota Raja Bersiong inilah yang dahulunya merupakan tempat Raja Bersiong bersemayam. Dahulu terdapat meja, kerusi, pinggan, mangkuk dan bermacam-macam lagi perabut lama. Semuanya peninggalan dahulu yang ada disitu dikatakan sudah tertanam diamah usia dan zaman ke dalam tanah di dalam gua yang ada disitu.

gua kota raja bersiong

Terdapat juga beberapa kisah misteri yang selalu dikaitkan dengan Raja Bersiong. Penduduk setempat mendakwa yang pada waktu malam akan terdengar bunyi riuh rendah seakan-akan ada orang yang sedang menumbuk lesung, memasak solah-olah merewang dan banyak lagi peristiwa-peristiwa lain yang misteri. Oleh kerana kerap berlakunya peristiwa pelik di kawasan tersebut, ada pula sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk membuat perkara khurafat seperti meminta nombor ekor dan sebagainya dengan memberikan darahnya sendiri sewaktu upacara sebagai balasan.

Kini, segala tinggalan Kota Raja Bersiong ini kebanyakannya terkambus disebabkan hakisan dan faktor masa. Kota lagenda Raja Bersiong ini berpotensi untuk dijadikan produk pelancongan jika ia dijaga dan diurus dengan baik. Kajian wajar dijalankan dan tidak dibiarkan dengan begitu sahaja kerana pasti akan terjumpa kebenaran walaupun kisah dan penceritaan mitos ditokok tambah menerusi dari mulut ke mulut sejak turun temurun lamanya.

kota raja bersiong

Dalam catatan Hikayat Merong Mahawangsa dan Sastera Rakyat Negeri Kedah ada dicatatkan akan kisah mengenai Raja Bersiong namun tiada sesiapa yang dapat buktikan dengan tepat dengan bukti fizikal akan hal peristiwa Raja Bersiong ini. Jadi, Kota Raja Bersiong ini mungkin boleh menjadi salah satu lokasi kajian yang pertama untuk mendapatkan bukti-bukti tertentu.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.