Masjid Lama Bandar Taiping, Masjid Paling Tua Di Taiping

bantu kami teruskan operasi : donate

Sepertimana yang kita ketahui, masjid adalah berasal dari perkataan bahasa Arab yang bermaksud tempat untuk bersujud. Sejak dari dahulu lagi, masjid dijadikan sebagai tempat untuk beribadat yang khusus seperti solat dan iktikaf untuk orang yang menganut agama Islam. Bangunan yang dipanggil sebagai masjid ini juga merupakan pusat kebudayaan, muamalat dan perkembangan dakwah Islamiah serta pusat aktiviti umat Islam.

Masjid tidak mempunyai rupa bentuk yang ditetapkan. Ianya bergantung kepada budaya dan adat masyarakat Islam di kawasan setempat. Lihat sahaja di dalam negeri Perak, terdapat pelbagai bentuk masjid yang unik seni binanya tidak khusus pada satu jenis budaya bangsa sahaja, tetapi ianya umum kepada pelbagai budaya yang sepertimana kita dapat lihat di Masjid Cina di Tasek Ipoh dan kebanyakan masjid yang mengambil reka bentuk dari Indonesia.

masjid lama

Jikalau anda pembaca setia orangperak.com pergi ke bandar Taiping, anak mata anda pasti akan tertarik apabila melihat sebuah masjid lama di tengah-tengah bandar Taiping di tepi jalan. Lokasinya yang unik terletak di tengah kesibukan bandar Taiping dan masjid ini ada di Jalan Kota, Kampung Jambu di bandar tengah Taiping. Untuk makluman anda, masjid ini diberi nama sebagai Masjid Lama Bandar Taiping.

Masjid Lama Bandar Taiping ini telah dibina pada tahun 1893 oleh keluarga Ngah Ibrahim sendiri. Masjid ini sebenarnya telah dibina untuk menggantikan bangunan asal yang merupakan sebuah madrasah yang berdindingkan kayu. Apa yang kita dapat lihat, pengaruh seni bina budaya Belanda telah menjadi inspirasi kepada arkitek untuk membina masjid pertama yang dibina daripada batu di bandar Taiping.

masjid lama

Inilah fakta menarik yang boleh diceritakan tentang Masjid Lama Bandar Taiping ini. Sepertimana yang dikatakan tadi, inilah masjid yang pertama dibina daripada batu bata pada waktu itu dan masjid inilah juga merupakan sebuah masjid yang paling tua di bandar Taiping. Untuk pengetahuan anda pembaca setia orangperak.com, Masjid Lama Bandar Taiping ini telah digazetkan sebagai bangunan warisan di Taiping.

Masjid yang paling tua dan masih teguh berdiri di bandar Taiping sejak lebih 100 tahun yang lalu ini juga terdapat banyak makam-makam yang ditanam dibelakangnya juga sejak lebih 100 tahun dulu lagi. Kesemua makam disana terpelihara dan dijaga dengan baik sehingga ke hari ini. Rata-rata, makam yang ada disana adalah makam tokoh-tokoh insan yang hebat dan terkenal di negeri Perak dan serata Tanah Melayu.

kubur

Antara makam-makam tokoh yang ada di sana adalah makam isteri Ngah Ibrahim yang bernama Toh Puan Halimah Binti Laksamana Mohd Ami, makam Tengku Menteri (anak lelaki Ngah Ibrahim) yang bernama Wan Mohd Isa Bin Ngah Ibrahim, kerabat-kerabat dan keturunan Long Jaafar, makam Sheikh Makhbuli yang merupakan seorang ulama agama Islam terkenal di daerah Taiping, Datuk Seri Dr. Burhanuddin bin Ungku Muhammad Nor yang merupakan Yang Dipertua Agung PAS ke 3 dan banyak lagi tokoh-tokoh tempatan yang lain.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.