Malam Melayu Sejati Di Pulau Misa Melayu, Bota

Seperti berada di zaman kegemilangan pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, itulah yang dirasai oleh wakil orangperak.com ketika berada di Pulau Misa Melayu, Bota. Melihat semua hadirin mengenakan busana Melayu, nyata memukau dan terbit rasa bangga dalam diri. Dalam artikel kali ini, orangperak.com ingin membawa pembaca semua untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu, Teluk Kepayang, Bota.

Pulau Misa Melayu

Pada 1 April 2017 yang lalu, orangperak.com telah dijemput untuk menghadiri Majlis Malam Melayu Sejati di Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu, Teluk Kepayang Bota. Nyata satu pengalaman yang baru buat wakil orangperak.com apabila berada di sebuah perkampungan yang benar-benar mengamalkan cara hidup, berpakaian dan budaya orang Melayu zaman silam. Berada di Pulau Misa Melayu nyata simbolik apabila kedudukannya yang berada tidak jauh dari pusat pemerintahan pertama Kesultanan Perak iaitu Tanah Abang.

Majlis pada hari Sabtu tersebut telah bermula dari awal pagi lagi dengan diadakan acara sukan tradisional Melayu antaranya acara meraut lidi, mengukur kelapa, congkak, permainan batu seremban dan tarik tali. Acara tersebut telah disertai oleh penduduk Kampung Teluk Kepayang, penduduk Kampung Pulau Misa Melayu, Mahasiswa/siswi dari Universiti Teknologi Petronas, Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Busana Melayu Kuala Kangsar dan Lubuk Merbau dan Pemuda Legasi Teluk Kepayang. Juri pertandingan tersebut ialah wakil dari Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Busana Melayu Kuala Kangsar.

Pulau Misa Melayu

Pada malam hari pula telah diadakan majlis kemuncak Malam Melayu Sejati yang turut dihadiri oleh wakil Presiden Persatuan Pelancongan Malaysia, Pengarah Biro Tatanegara Negeri Perak, serta deligasi Persatuan Dendang Anak Indonesia. Dirasmikan oleh wakil Ketua Menteri Melaka, para tetamu yang diraikan sebelum itu telah diberi penghormatan seperti gaya majlis keraian bangsawan zaman dahulu kala dengan diiring ke balairong oleh pahlawan bertombak dan mereka kemudiannya dipersembahkan sirih dan pinang sebagai tanda penghormatan. Para hadirin seterusnya telah dipersembahkan dengan dendangan lagu-lagu dan tarian tradisional Melayu serta pertunjukan silat. Kemudian diadakan acara cabutan bertuah dan penyampaian hadiah kepada para peserta sukan tradisional Melayu yang telah berlansung pada siang hari dengan hadiah telah disumbangkan oleh Biro Tatanegara Negeri Perak.

Pulau Misa Melayu

Berada di tebing kiri Sungai Perak dekat Kampung Teluk Kepayang Bota, Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu didirikan hasil buah fikir dan usaha pengasas Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Nusantara Malaysia (Dendang Anak) Tuan Zulkifli Bin Ismail seawal tahun 1992. Setelah melihat anak bangsa yang begitu ramai terlibat dengan gejala penagihan dadah dan gejala-gejala lain yang tidak sihat, maka beliau telah membuat inisiatif bermula dengan cara persendirian. Penerimaan masyarakat dan kejayaan usaha yang dibuat telah membantu kepada perkembangan yang sedia ada sekarang. Kegiatan utama persatuan adalah dengan membuat usaha pemulihan penagihan dadah dan masalah sosial masa kini disamping melahirkan kumpulan pemuzik berteraskan irama Nusantara.

Pulau Misa Melayu

Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Nusantara Malaysia (Dendang Anak) atau lebih dikenali sebagai Dendang Anak telah membuat pelbagai usaha untuk memperkasakan warisan budaya bangsa Melayu dan meletakkannya sebagai teras usaha untuk meletakkan Budaya Melayu dipersada pentas dunia. Persatuan Dendang Anak juga telah membawa nama Malaysia serta kebudayaan Melayu dipersada dunia apabila telah terpilih mewakili Malaysia di Pesta Gendang Nusantara sejak 2008, World Music Festival serta The International Festival For Drums dan Traditional Arts Performance di Kaherah, Mesir pada April 2016. Dendang Anak juga pernah membuat persembahan di Istana Budaya, Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia tahun 2016.

Teras usaha Dendang Anak adalah dari Teras Bangsa bagi memperkasakan warisan budaya Melayu iaitu AGAMA USUL BANGSA, BAHASA JIWA BANGSA, BUDAYA RAGA BANGSA, ADAT MARTABAT BANGSA. Maksud dan tujuan Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Nusantara Malaysia (Dendang Anak) adalah seperti berikut:

  1. Mempertengahkan budaya dan warisan melayu kepada masyarakat terutama golongan muda dan anak-anak.
  2. Menimbulkan kesedaran betapa pentingnya menghidup, memelihara dan mengekalkan budaya dan warisan Melayu.
  3. Memperkayakan kebudayaan dan warisan Melayu.
  4. Menyatu dan memadu Bangsa Melayu melalui Budaya Melayu.
  5. Memartabatkan budaya warisan Melayu di persada antarabangsa dan dunia.
  6. Agar “Tak Melayu Hilang Di Dunia”.

Pulau Misa Melayu

Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Nusantara Malaysia (Dendang Anak) mempunyai cawangan di Terengganu, Selangor, Perak dan juga telah melebarkan sayap budaya ke Kepulauan Riau, Indonesia. Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Nusantara Malaysia (Dendang Anak) Cawangan Perak Darul Ridzuan merupakan cawangan yang ke-3 selepas Terengganu dan Selangor. Bergiat aktif dengan program-program kebudayaan Melayu di Negeri Perak, aktiviti Dendang Anak Cawangan Perak berpusat di Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu, Kg. Teluk Kepayang Bota Kiri, Perak Darul Ridzuan. Dendang Anak Cawangan Perak Darul Ridzuan dipimpin oleh Tuan Mior Yazid Bin Abdul Manaf selaku Yang Di-Pertua Dendang Anak Cawangan Perak Darul Ridzuan.

Persatuan Dendang Anak mempunyai harapan agar Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu menjadi tempat rujukan Warisan Budaya Melayu Nusantara dan tersenarai dalam Kalendar Pelancongan Malaysia dan Nusantara. Dendang Anak sentiasa menganjurkan Program Budaya Mingguan di Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu pada setiap hari Sabtu bermula pada jam 9:00 malam pada setiap minggu yang dinamakan program “Malam Melayu Sejati”.

Pulau Misa Melayu

Ianya terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa sebarang bayaran dikenakan. Kebiasaan ianya dikunjungi oleh penduduk sekitar, pertubuhan-pertubuhan NGO dan penggiat seni budaya Melayu dan persilatan turut sama di malam tersebut dengan berbusana Melayu lengkap bertanjak, sampin, bengkung dan berkeris. Pengalaman mereka yang pernah hadir ke “Malam Melayu Sejati” mengatakan seperti berada di kurun ke-15 pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka. Pada malam tersebut hadirin akan disajikan dengan pertunjukan budaya, tarian, dendangan dan persilatan Melayu.

Persatuan Dendang Anak turut mengadakan program secara tahunan seperti Malam Silat Melayu Sejati dan Program Budaya Sempena Cuti Persekolahan. Pogram Malam Silat Melayu Sejati telah dihadiri lebih dari 30 perguruan dan pertubuhan silat di seluruh Perak berhimpun serta mempersembahkan warisan Seni Silat Melayu. Program Budaya Sempena Cuti Sekolah pula telah berjaya mengumpulkan lebih dari 200 orang anak-anak ahli jemaah Dendang Anak dari Perak, Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan, Pahang, Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Sabah yang berkampung di Perkampungan Pulau Misa Melayu. Anak-anak yang mengikuti program ini akan didedahkan dengan budaya Melayu seperti Tarian, Seni Silat dan juga senaman riadah serta dan belajar cara hidup orang-orang melayu dahulu yang sentiasa hidup dalam muafakat dan bekerjasama. Mereka dibimbing serta mempelajari Budaya dan Muzik Melayu sekaligus ditanam semangat cinta kepada Bangsa dan Agama.

Pulau Misa Melayu

Pengurusan serta pentadbiran Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu mengikut kaedah dan cara yang diamalkan di perkampungan Melayu zaman dahulu dan menggunakan gelaran pembesar pembesar Melayu seperti Paduka, Temenggung, Penghulu, Tok Sidang, Tok Kelana, Tok Demang, Tok Lingga, Tok Bentara, Orang Kaya Kaya dan pelbagai gelaran Tok diguna pakai di dalam perkampungan ini. Semua penduduk di perkampungan ini menggunakan gantinama Hamba, Tuan Hamba, Kekanda dan Adinda ketika bertutur. Perkampungan warisan ini sentiasa menjadi tempat berhimpun dan menjadi sumber inspirasi penubuhan persatuan warisan busana Melayu di negeri Perak antaranya Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Busana Kuala Kangsar , Lubuk Merbau, Sg Siput, Gopeng, Kampar, Beruas dan Ipoh.

Pulau Misa Melayu

Usaha Persatuan Dendang Anak ini telah mendapat perhatian dari YAB Menteri Besar Perak iaitu Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir semasa kunjungan ke Program Pemukiman Perak Tengah 2017 baru-baru ini serta YB Dato’ Nolee Ashilin Binti Mohammed Radzi selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelancungan Kebudayaan, Keseniaan, Komunikasi dan Multimedia merangkap Yang Di-Pertua Majlis Kebudayaan Negeri Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara Perak telah banyak membantu mempromosikan Dendang Anak didalam dan luar negara.

Pulau Misa Melayu

Jika para pembaca mempunyai sebarang pertanyaan mengenai acara yang akan diadakan di Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu Bota ini, anda semua boleh menghubungi Encik Has Rizal Hamsan @ Megat Rizal yang juga merangkap Setiausaha Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Nusantara Malaysia (Dendang Anak) Cawangan Perak Darul Ridzuan ditalian 011-10600431. Marilah kita bersama-sama memartabatkan warisan budaya Melayu agar tidak hilang ditelan zaman.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.