Kisah Masjid Tinggi, Mercu Tanda Bagan Serai

Sejak mulanya penjajahan British di Tanah Melayu, British ada mulakan satu skim untuk tanaman padi di kawasan tertentu. Hal ini adalah kerana untuk menampung bekalan makanan buat rakyat yang ada di dalam tanah melayu. Sebelum wujudnya skim tersebut, segala sumber makanan kebanyakan di import dari luar negara seperti Thailand dan Burma (kini dikenali sebagai Myanmar). Untuk pengetahuan anda pembaca setia orangperak.com, skim rancangan padi yang pertama dibuka adalah di Kerian, Perak.

masjid tinggi

Sejak pembukaan skim tersebut itu, berlakulah penghijrahan besar-besaran dari Banjarmasin ke Tanah Melayu yang mana pada waktu itu semangat nusantara masih lagi diagungkan tidak seperti pada hari ini dan ada juga yang dibawa masuk oleh pihak British sendiri untuk menjayakan skim tanaman padi yang diusahakan itu. Oleh kerana wujudnya penghijrahan beramai-ramai dan kebanyakan daripada mereka adalah beragama Islam, jadi sebuah masjid telah dibina dikawasan tersebut pada tahun 1897.

Pembinaan masjid lama ini diketuai oleh Haji Din bersama-sama dengan orang-orang Banjarmasin yang berhijrah ke Bagan Serai seperti yang diceritakan tadi. Haji Din telah mewakafkan tanahnya untuk mendirikan masjid ini demi untuk menampung orang ramai dikawasan tersebut untuk mengerjakan ibadah agama Islam dengan ruang yang selesa. Maka, beramai-ramailah mereka bergotong-royong membina masjid tersebut dan reka bentuk masjid itu juga adalah mengikut senibina Banjarmasin.

Gambar adalah untuk rujukan senibina Masjid di Banjarmasi

Gambar adalah untuk rujukan senibina Masjid di Banjarmasin

Gambar adalah untuk rujukan senibina Masjid di Banjarmasi

Gambar adalah untuk rujukan senibina Masjid di Banjarmasin

Pada penghujung tahun 1928 sewaktu pemerintahan Sultan Iskandar Shah (Sultan Perak ke 30), masjid ini telah dirasmikan dan mendapat pengiktirafan daripada Sultan Iskandar Shah (Sultan Perak ke 30) untuk digunakan sebagai tempat beribadah umat yang beragama Islam.

Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, hampir keseluruhan struktur dan dinding masjid ini dibina daripada kayu dan bumbungnya dengan zink. Berkenaan dengan menara azan empat tingkat, ia telah dibina pada tahun 1929 dan kemudian masjid ini dikenali dengan nama Masjid Tinggi. Hal ini kerana, berkemungkinan inilah masjid yang paling tinggi di Perak pada waktu itu yang membuatkan nama Masjid Tinggi diangkat sebagai gelaran dan nama masjid ini.

masjid tinggi

Dimaklumkan bahawa masjid ini tidak lagi digunakan untuk menjalankan ibadah harian kerana terdapat sebuah lagi masjid yang baru telah dibina pada tahun 1966 yang diberi nama sebagai masjid Al-Athar yang terletak bersebelahan dengan Masjid Tinggi ini. Ada juga sebuah Maahad Tahfiz Al- Akhlak Al- Islamiah Masjid Tinggi yang dibina berdekatan dengan masjid tersebut.

keadaan Masjid Tinggi sebelum pemuliharaan

keadaan Masjid Tinggi sebelum pemuliharaan

Sedia maklum bahawa Jabatan Warisan Negara pernah menjalankan kerja-kerja pemuliharaan pada keseluruhan Masjid Tinggi ini pada tahun 2006 dan antara kerja-kerja pemuliharaan yang telah dilakukan ialah menggantikan dinding yang telah lama dan reput, mengganti simen-simen yang retak dan rosak, mengganti longkang-longkang yang pecah, membaik pulih kolah yang mana digunakan untuk tempat mengambil wuduk, mengecat semula menjadi nampak baru dan lain-lain kerosakan yang ada.

Kini, Masjid Tinggi ini dijadikan galeri Banjar.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.