Kisah Lagenda Kolam Buaya Emas Di Telok Bakong, Bota

satu program percuma khas oleh orangperak.com

Siapa sangka kolam yang terletak berhampiran dengan makam Sultan Muzaffar Shah 1 di Padang Marhom Telok Bakong ini punyai cerita dan lagendanya yang tersendiri. Ramai juga penduduk tempatan dikawasan tersebut yang tak tahu akan kisahnya yang semakin hari semakin dilupakan.

Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, pada waktu zaman dahulu kedalaman kolam ini tidak seperti keadaannya seperti hari ini yang mana ia semakin cetek dan semakin kecil. Banyak juga cerita-cerita mistik yang kedengaran dikawasan tersebut dan tidak pernah putus-putus diceritakan sejak turun temurun.

Ada khabar angin yang menyatakan tentang kolam buaya emas ini terdapat harta karun yang tersimpan didasarnya. Akibat dari khabar angin tersebut, ada pihak-pihak tertentu yang cuba untuk mencari dan menjejaki harta karun tersebut. Namun, sehingga ke hari ini tidak ada satu pun harta yang ditemui.

Ada juga kisah pada waktu dahulu yang kononnya penduduk kampung boleh meminjam pinggan mangkuk dari kolam ini untuk kenduri kendara. Rata-rata ia hampir sama dengan kebanyakan cerita-cerita di kawasan lain. Apakah kaitannya kisah ini dengan kawasan yang berkait dengan kisah pinjam meminjam pinggan mangkuk ini?

Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, kisah lagenda kolam buaya emas ini bermula lewat kurun ke 16 di kawasan Tanah Abang. Pada akhir kurun ke 16, pusat pemerintahan Perak Tua iaitu Tanah Abang diperintah oleh seorang sultan iaitu Sultan Mansur Shah II (Sultan Perak ke 2).

Kisahnya Sultan Mansur Shah II ini runsing kerana tidak punyai waris walaupun sudah bertahun-tahun berumah-tangga. Baginda semakin hari semakin murung sehinggakan rakyat dan pembesar negeri Perak pun turut terasa akan keresahan seorang sultan yang disayangi mereka.

Melihat kepada keadaan Sultan Mansur Shah II yang semakin membimbangkan, Bendahara bersama-sama dengan Datuk Bentara pun bersepakat untuk mencari jalan penyelesaian buat baginda sultan. Oleh itu, Bendahara mengarahkan Datuk Bendara untuk mudik ke Hulu Sungai Perak sehingga ke Kelantan untuk mencari dan bertemu dengan Tok Malim Buana.

Tok Malim Buana adalah seorang yang arif dalam ilmu dunia dan juga akhirat. Kedatangan Datuk Bentara sudah diketahui dan ditunggu-tunggu oleh Tok Malim Buana. Akhirnya Datuk Bentara pun sampai dan bertemu dengan Tok Malim Buana.

Tok Malim Buana menyatakan bahawa Sultan Perak haruslah berdayung ke Air Mati dan berdoa kepada Allah SWT disana agar dapat kurniakan putera dan puteri yang ramai. Lantas Datuk Bentara pun pulang dan khabarkan hal ini kepada Sultan Perak.

Tidak berfikir panjang, Sultan Perak pun bersutuju untuk berikhtiar dengan cara yang disarankan oleh Tok Malim Buana. Apabila sampai sahaja dikawasan Air Mati, baginda sultan dan permaisuri pun berdoa kepada tuhan untuk dapatkan anak yang ramai dan bernazar jika dikabulkan doa, akan menjaga anak-anak setiap masa.

Kisah Lagenda Kolam Buaya Emas Di Telok Bakong, Bota

kredit gambar kepada aisbatu.blogspot.my

Setelaah berdoa, baginda berdua pun pulang ke istana. Pada malam yang sama sewaktu sedang tidur, baginda Sultan Perak bermimpi ada bertemu dengan seorang lelaki tua berjanggut panjang sehingga ke pusat. Dalam mimpi tersebut, orang tua itu berpesan kepada tuanku sultan agar pergi ke Taman Diraja apabila malam bulan purnama menjelma.

Lantas dalam mimpi itu lagi baginda diarah untuk mencari bunga kunyit yang tumbuh disana untuk dijadikan santapan sultan dan permaisuri. Keesokan malamnya apabila bulan purnama menjelma, Sultan Perak pun ke Taman Diraja sambil ditemani Bendahara.

Maka sultan pun mencari bunga kunyit dan membawa pula untuk dijadikan santapan bersama isteri baginda. Setelah beberapa bulan sejak dari hari tersebut, akhirnya tibalah berita gembira yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat dan pembesar negeri Perak iaitu permaisuri telah hamil.

Selepas 7 tahun berturut-turut, permaisuri Perak melahirkan puteri. Di istana semakin meriah dengan kehadiran 7 orang puteri yang amat comel. Hendak dijadikan cerita apabila puteri yang paling bongsu berusia genap 10 tahun, terjadilah satu perisiwa aneh yang mana semua puteri sultan Perak sakit sehingga jatuh pengsan semuanya.

Hal ini amat membingungkan dan Sultan Perak berdoa kepada Allah SWT untuk memberi pentunjuk agar puterinya kembali sihat seperti sediakala. Akhirnya pada satu malam dalam mimpinya Sultan Perak, orang tua yang dahulu muncul kembali dalam mimpinya dan mengarahkan tuanku sultan untuk membina sebuah kolam dengan sebuah pulau ditengah-tengahnya.

Lantas setelah siap kolam dibina, kaki semua puteri sultan Perak perlu disiramkan dengan air dari kolam tersebut. Adda juga peringatan yang diberikan kepada sultan yang mana apabila selepas sihat dan jika puteri bersiram di kolam itu nanti, sultan hendaklah sentiasa mengawasi mereka jika tidak ada perkara buruk yang akan berlaku.

Puteri baginda sultan juga dilarang untuk menyanyi semasa bersiram di kolam tersebut kerana ia akan mendatangkan bala serta malapetaka besar. Esok paginya selepas terjaga dari tidur, tuanku sultan pun segera mengarahkan membina sebuah kolam seperti dalam mimpinya.

Setelah siap dibina, semua puteri-puteri baginda diusung ke kolam dan kaki mereka disiram dengan air kolam tersbut. Sebaik sahaja selesai disiram, puteri sultan pun semuanya sedar dari pengsan dan pada masa itu juga mereka bersiram di kolam itu beramai-ramai.

Sebaik sahaja puteri yang sulung mencecahkan kakinya di permukaan air kolam itu, turunlah gerimis dengan pelangi berkilau merentang di langit tinggi. Dari arah sungai, seekor buaya berwarna hijau datang masuk melalui alur dan terus ke kolam. Sebaik sahaja buaya itu masuk ke dalam kolam, buaya itu bertukar sisik keemasan. Kegemarannya beristirehat di atas pulau di dalam kolam itu.

Selang beberapa tahun, lahirlah pula seorang putera yang mana bakal menjadi waris mutlak kerajaan negeri Perak. Sultan amat gembira dengan hal ini sehingga terlupa dan mengabaikan tujuh puterinya. Pada satu hari, semua puteri baginda minta izin untuk bersiram di kolam dan sultan membenarkan serta terlupa untuk mengawasi mereka semua.

Akhirnya, puteri-puteri itu turun juga bersiram sesama mereka 7 beradik. Sewaktu puteri sulung menjejakkan kakinya di permukaan kolam itu, gerimis turun dengan dentuman guruh menandakan alamat buruk akan tiba. Buaya Emas ghaib entah ke mana.

Kisah Lagenda Kolam Buaya Emas Di Telok Bakong, Bota

kredit gambar kepada aisbatu.blogspot.my

Rupa-rupanya dari jauh terdapat seekor Bota (raksasa) yang sedang memerhatikan puteri-puteri ini. Bota terus mengeluarkan serulingnya dan meniupkan satu irama. Puteri-puteri ini terpesona lantas bernyanyi sambil bersiram. Secara tidak langsung pantang larang utama telah dilanggar dan dengan tidak semena-mena kilat menyambar di kolam dan ketujuh-tujuh puteri itu mangkat di situ juga.

Bernyanyi sambil mandi dilarang oleh orang tua-tua zaman dahulu kerana tidak sopan. Oleh yang demikian, wujudlah kisah cerita rakyat penglipur lara yang diperturunkan sejak generasi ke generasi baru. Walaupun begitu, kolam buaya emas di Telok Bakong masih lagi wujud sehingga ke hari ini.

diolah dan kredit kepada aisbatu.blogspot.my

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Pengasas orangperak.com dan pencinta sejarah tempatan negeri Perak
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.