Kisah Ahmad Boestaman Dari Tanjung Malim

Negeri Perak antara negeri yang banyak melahirkan tokoh-tokoh nasionalis yang memperjuangkan nasib bangsa dalam menentang penjajahan di tanah bertuah ini. Tokoh yang orangperak.com akan sentuh kali ini namanya sudah cukup terkenal di seluruh Malaysia namun tidak ramai yang tahu atau meneliti sejarah hidupnya. Beliau ialah sasterawan, wartawan dan pejuang kemerdekaan tanah air iaitu Dato’ Ahmad Boestaman. Mari kita hayati kisah keperibadian beliau agar dapat diterapkan semangat itu dalam mempertahankan kemerdekaan tanah air meskipun berhaluan kiri.

Beliau diputerakan dengan nama Abdullah Thani Raja Kechil pada 30 November 1920, beliau dibesarkan di Kampung Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak. Namun beliau lebih dikenali dengan nama Ahmad Boestaman sehingga tidak ramai yang tahu nama asal beliau. Beliau juga menggunakan nama pena Ruhi Hayat dan Jiwalara.

Memperoleh pendidikan awal di kampung, Ahmad tamat Darjah Lima dan lulus dengan Gred 1 dalam peperiksaan Kelas Melayu Khas (” Special Malay Class “, SMC). Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di Anderson School Ipoh, sebuah sekolah inggeris yang terkenal sehingga darjah tujuh. Beliau pernah gagal dalam peperiksaan “Junior Cambridge” di sekolah tersebut.

Namun berjaya menebus kegagalan tersebut apabila lulus Ujian Kelayakan (QT) kemudian Sijil Persekolahan Seberang Laut (OSC) dan akhirnya Highest School Certificate. Ini semua beliau berjaya capai dengan hanya belajar sendiri diantara tahun 1963 sehingga 1967.

ahmad boestan

Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi di Licoln’s Inn London dalam Ijazah Barrister at Law. Walaubagaimanapun beliau hanya belajar separuh jalan dalam bidang tersebut. Namun begitu, beliau telah lulus dan berjaya memperoleh diploma kewartawanan di Premier Journalist School di London pada 1969.

Ahmad Boestaman berjinak dalam bidang kewartawanan pada usia 15 tahun iaitu sewaktu bersekolah di Anderson School dengan menulis rencana untuk akhbar Saudara yang diterbitkan di Pulau Pinang. Beliau pernah bertugas dengan akhbar Saudara serta Warta Khas pada 1940. Beliau kemudiannya bertugas dengan akhbar Majlis yang diketuai oleh Ibrahim Haji Yaakob dan Abdul Rahim Kajai. Disinilah beliau telah didedahkan dalam arena politik.

Dalam tahun 1941, beliau telah berkhidmat bersama Pak Sako di Utusan Melayu yang beribu pejabat di Queen Street, Singapura. Beliau berkerja pula dengan akhbar Warta Malaya setelah Ibrahim Yaakob membeli syarikat akhbar berkenaan dan dalam waktu yang sama beliau menjawat jawatan Setiausaha Agung Kesatuan Melayu Muda (KMM).

Beliau kemudiannya telah ditahan oleh pihak British melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dibebaskan pada 15 Februari 1942 setelah Jepun berjaya menawan Tanah Melayu dan Singapura. Beliau bertugas dengan pentadbiran Jepun melalui badan propaganda bernama Sesden Ka.

Beliau menubuhkan gerakan bawah tanah yang dikenal sebagai Gerakan Kiri Tanah Air (KITA) bersama Mokhtar Al-Bakri, Hj Ramli Said serta Zulkifli Ownie. Pertubuhan ini berselindung disebalik latihan tentera Jepun serta nama Barisan Pemuda Melayu.

Ahmad Boestaman turut menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) dengan tujuan untuk memerdekakan Tanah Melayu dan bersatu bersama Indonesia dengan nama negara Melayu Raya melalui kerjasama dengan Jepun. Walau bagaimana pun usaha ini tidak kesampaian setelah Jepun menyerah kalah dan British kembali memerintah Tanah Melayu.

ahmad boestaman

Ahmad Boestamam kemudian menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Dibawah PKMM beliau mengasaskan Angkatan Pemuda Insaf (API) dengan slogan perjuangan iaitu “Merdeka Dengan Darah!”. Namun Parti Komunis Malaya yang ingin menguasai Tanah Melayu dengan cara yang mengikut undang-undang telah membentuk “Barisan Bersatu Malaya” dengan tujuan untuk mempengaruhi parti-parti politik Melayu dan kesatuan sekerja India diketika itu. Dengan itu, cita-cita untuk membentuk sebuah republik komunis di Tanah Melayu akan menjadi lebih mudah.

Dengan itu, Ahmad Boestaman telah bekerjasama dengan pihak PKM juga sedar bahawa perjuangan PKM bersifat penjajahan ke atas Tanah Melayu. Ini kerana PKM mempunyai pengaruh dari Parti Komunis China yang bekerjasama dengan Comintern, iaitu pertubuhan komunis antarabangsa yang berada di bawah pengaruh Soviet Union.

Ahmad Boestaman pada awalnya membenarkan Parti Komunis Malaya (PKM)mempengaruhi PKMM. Ini kerana bantuan kewangan dan pengurusan surat khabarnya, Suara Rakyat dan Voice of the People dipegang oleh PKM. Teraju utama, iaitu Presiden PKMM juga dikuasai oleh PKM, melalui Mokhtaruddin Lasso, seorang pelarian politik Parti Komunis Indonesia (PKI) yang menjadi ketua orang Melayu Regimen ke-10 MPAJA. Akhirnya, PKM menentukan dasar politik PKMM.

Dasar politik untuk melindungi dan berjuang bagi mewujudkan perasaan kebangsaan, memajukan ekonomi, pelajaran dan keadilan bagi masyarakat Melayu telah diubah oleh PKM. PKM juga telah meletakkan satu dasar yang penting yang melambangkan pembentukan sebuah bangsa “Malaya”, sesuai dengan dasarnya mewujudkan Barisan Bersatu Malaya pada masa depan. Dengan itu, dasar PKMM tidak lagi bersifat Melayu seratus peratus. Ia telah disesuaikan dengan cita-cita PKM.

Ahmad Boestaman yang telah menyedari perkara tersebut telah cuba untuk mengimbangi pengaruh politik PKM, dalam persidangan yang diadakan pada 30 November 1945 dan dasar untuk membentuk ‘Melayu Raya’ atau Indonesia Raya, telah dimasukkan sebagai salah satu matlamat perjuangan PKMM.

Malah dasar ini memang sengaja ditonjolkan beliau untuk mengelakkan pandangan serong orang ramai terhadap penguasaan PKM dalam PKMM. Ini juga telah mendapat kerjasama warga Indonesia yang menetap di Tanah Melayu.

ahmad boestaman

Pada waktu tersebut kerajaan British telah menyokong UMNO kerana bagi kerajaan British, UMNO adalah sebuah parti politik yang lebih sederhana, tidak dipengaruhi sebarang unsur luar yang mengancam kedudukan politik dan ekonominya serta tidak mempunyai sejarah penentangan terhadap pihak British, seperti yang pernah dilakukan oleh PKMM yang dipimpin oleh beberapa orang bekas anggota KMM.

UMNO juga direstui oleh raja- raja Melayu yang merupakan lambang ketuanan orang Melayu. Sokongan raja-raja Melayu kepada UMNO diakui sangat penting kerana raja-raja Melayu merupakan ketua kerajaan negeri yang membuat perjanjian dengan kerajaan British. Kebijaksanaan UMNO menarik raja-raja Melayu memihak kepada mereka telah memerangkap kerajaan British untuk mengakui kepentingan UMNO.

Pada masa ini, Ahmad Boestamam dan PKMM yang telah dipengaruhi oleh PKM telah menubuhkan PUTERA, sebagai satu badan radikal Melayu yang besar bagi bergabung dengan AMCJA, sebuah gabungan parti politik bukan Melayu yang juga dipengaruhi oleh PKM. Kedua-dua organisasi kemudian menjadi penentang yang penting kerana telah mengeluarkan Perlembagaan Rakyat sebagai satu perlembagaan pilihan kepada orang ramai, selain Perjanjian Persekutuan 1948 yang disediakan oleh UMNO , raja-raja Melayu dan kerajaan British.

Dengan mempunyai satu dasar yang tidak bertumpu kepada kepentingan orang Melayu sepenuhnya, bererti Ahmad Boestamam dan PKMM telah menentang arus dengan semangat kembangkitan Melayu pada tahun 1946. Ini kerana penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union adalah kemuncak gerakan nasionalisma mereka selama ini.

ahmad boestaman

Gerakan nasionalisma Melayu yang bermula begitu lambat dan tidak begitu mencabar kerajaan British telah menjadi cukup tegang dengan pengenalan Malayan Union. Ini kerana gerakan anti-Malayan Union itu telah membangkitkan kesedaran politik yang cukup jelas sehingga melibatkan kaum wanita yang selama ini tertutup dengan peranan tradisional mereka.

Pengenalan Malayan Union telah menyatupadukan orang Melayu, bukan sahaja di kalangan rakyat tetapi juga raja-raja Melayu dan para pembesar tradisional yang selama ini terpisah dengan rakyat jelata. Penentangan itu merupakan satu gerakan yang telah mencabar kerajaan British sehingga terpaksa tunduk kepada kehendak mereka.

Pada Februari 1946, ketika semangat menuntut kemerdekaan sedang membara dikalangan orang Melayu, Ahmad Boestaman bersama dengan Dr Burhanuddin Al Helmi menubuhkan Angkatan Pemuda Insaf (API), sebuah pergerakan kiri yang radikal di Malaya sehingga pertubuhan itu diharamkan oleh pihak British.

Penangkapan Ahmad Boestaman pada bulan Julai 1948-1954 membekukan kegiatan politik beliau untuk satu tempoh yang agak panjang, iaitu selama tujuh tahun. Beliau ditahan begitu lama kerana dianggap berbahaya kepada keselamatan politik British di Tanah Melayu. Pengisytiharan undang-undang darurat juga digunakan untuk kerajaan British mengawal anasir PKM dan sekutunya termasuk PKMM dan gerakan-gerakan haluan kiri. Ahmad Boestaman telah dianggap sebagai sebahagian daripada tenaga penggerak yang berbahaya.

Setelah dibebaskan dari tahanan, beliau telah menubuhkan Parti Rakyat Malaya pada tahun 1955. Beliau telah menjadi pemimpin pembangkang Melayu dengan menggunakan ideologi sosialisme-marhaenisme ciptaan Sukarno. Dengan kerjasama dengan Parti Buruh Malaya, beliau berjaya membentuk Socialist Front (SF) yang akhirnya menjadi salah satu parti pembangkang yang terkenal selepas kemerdekaan Tanah Melayu.

Pilihan Raya Umum Malaysia 1959 telah memberi satu pengiktirafan kepada kegiatan politik beliau selama ini. Beliau telah memenangi kerusi parlimen Setapak di Kuala Lumpur di bawah tiket Socialist Front. Dengan itu, Ahmad Boestaman telah menjadi salah seorang anggota pembangkang yang disegani, bersama-sama dengan tokoh-tokoh nasionalis dan politik Melayu yang lain seperti Dato’ Onn Jaafar , Dr.Burhanuddin, Khadijah Sidek, Zulkifli Mohammad dan Othman Abdullah.

ahmad boestaman

Tokoh-tokoh pembangkang bukan Melayu yang handal seperti Dr. Seenivasagam , Tan Chee Koon dan Lim Kean Siew telah berganding bahu dengan Ahmad Boestaman dan rakan-rakan yang lain. Kehadiran Ahmad Boestamam dan kawan-kawannya itu menjadikan kerajaan perikatan terpaksa bekerja keras untuk menentang mereka di Dewan Rakyat. Namun Ishak Haji Muhammad dari Parti Buruh kalah di Temerloh, Pahang.

Pilihan raya ini adalah yang pertama selepas merdeka 31 Ogos 1957. Pilihan raya umum Tanah Melayu 1959 ini cukup hebat kerana diadakan berperingkat-peringkat, bermula dari negeri Perlis hingga Kelantan. Ketika itu Sabah dan Sarawak belum menyertai dan membentuk Malaysia. Kerusi Parlimen bertambah dari 52 (1955) kepada 104 kerusi (1959). Perikatan menang 74 kerusi dan pembangkang menang 30 kerusi.

Ahmad ditangkap pada tahun 1963, buat kali ketiga dalam sejarah hidup politiknya. Pada kali ini Ahmad ditangkap oleh kerajaan selama empat tahun. Ketika itu beliau masih menjadi ahli parlimen Setapak. Alasan kerajaan Perikatan pada ketika itu ialah kerana beliau terlibat dalam usaha Indonesia menentang gagasan Malaysia yang sedang diusahakan oleh Tunku Abdul Rahman, ketua kerajaan Perikatan dan Perdana Menteri Malaysia.

Beliau juga dituduh bekerjasama dengan Parti Komunis Indonesia (PKI) dan terlibat dalam pemberontakan Brunei 1962. Beliau telah mengeluarkan novel bertajuk “Merangkaklah Senja Menutup Pandangan” yang menggambarkan kisah beliau sewaktu menjadi tahanan.

ahmad boestaman

Beliau menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PRSM) pada 1980 sehingga akhir hayat. Sisa-sisa hidupnya dihabiskan dengan menjadi penulis bebas di akhbar-akhbar sebagai perintang waktu dan sedikit pendapatan untuk menyara kehidupannya. Dua tahun selepas menunaikan fardu haji, beliau meninggal dunia pada tahun 1983 setelah menderita akibat penyakit barah paru-paru.

Dengan itu, maka tamatlah perjalanan hidup seorang tokoh politik yang sangat dinamik dan menarik yang telah memberi warna-warna garang dan terang serta corak yang berliku-liku dalam kehidupannya dan politik Malaysia khasnya.

Kepentingan beliau dalam sejarah politik Malaysia tidak akan dilupakan. Beliau berjaya menguasai bidang sebagai ahli politik, sasterawan dan wartawan dengan baik. Beliau telah dianugerahkan bintang Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S) yang membawa gelaran Dato oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.