Keunikan Telaga Bersaiz Gergasi Di Selama, Perak

bantu kami teruskan operasi : donate

Sebuah kampung tradisional di Selama, Perak amat terkenal dengan keindahan flora dan fauna yang masih lagi terpelihara sehingga ke hari ini. Kampung tersebut terletak di Mukim Ijok, Selama dan nama kampung tersebut adalah Kampung Bagan Baharu. Kampung ini adalah salah satu pilihan utama penduduk untuk dijadikan sebagai penempatan di Selama dan amat sesuai buat mereka yang inginkan ketenangan dari kesibukan kawasan bandar.

Menurut penduduk disekitar kawasan tersebut, nama Bagan Baharu wujud dan diberi gelarannya pada kawasan tersebut kerana ia adalah penempatan baru yang telah diwujudkan di kawasan tersebut. Hal ini kerana pada sebelumnya, kebanyakan penduduk tinggal di Kampung Bagan Kenua dan mereka mula berpindah ke kawasan yang lebih selamat daripada ancaman komunis dan kawasan baru sejurus selepas negara mendapat kemerdekaan pada tahun 1957.

telaga gergasi

Telaga Gergasi dan kredit gambar kepada Masjlis Daerah Selama

Apa yang menariknya di pinggir Kampung Bagan Baharu ini adalah terdapat sebuah telaga yang bersaiz gergasi. Ia dikatakan telah wujud dibina pada tahun 1936 sejak di zaman penjajahan British lagi. Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, telaga gergasi ini digunakan oleh pihak penjajah British sebagai tempat untuk menyimpan air dan dijadikan sebagai sumber air untuk tujuan pengairan buat tanaman padi di kawasan tersebut.

Tinggalan teknologi telaga gergasi daripada British ini juga dikatakan mempunyai fungsi lain dimana ia berfungsi sebagai penyampai dengan menggunakan kaedah alam semula jadi. Dalam erti kata lain yang lebih mudah untuk difahami, pihak British menggunakan telaga gergasi ini untuk mengumpul hasil-hasil bijih timah yang telah dikutip melalui tolakan arus sungai dan akhirnya dikumpulkan di dalam telaga gergasi tersebut.

telaga gergasi

Telaga Gergasi dan kredit gambar kepada Masjlis Daerah Selama

Sedikit fakta menarik untuk dikongsikan kepada anda semua pembaca setia orangperak.com tetang telaga gergasi ini. Untuk makluman anda, kedalaman telaga gergasi ini adalah sedalam 100 kaki dalamnya. Air yang dialirkan dari sungai yang berada di atas sungai ke dalam telaga gergasi ini kemudiannya akan melalui saliran di bawah tanah lalu menembusi menjadi sungai semula dan bertemu di sungai Ijok lalu terus mengalir ke Tasik Bukit Merah.

Berkenaan dengan sungai yang berada di atas sungai seperti yang diceritakan pada perenggan diatas adalah berkenaan dengan terusan air yang dilencongkan daripada Sungai Ijok dan merentasi Sungai Redang Panjang yang mengalir di bawah jambatan sungai. Jambatan tersebut juga dibina pada tahun 1936 bagi bertujuan untuk memudahkan penduduk setempat untuk merentasi terusan tersebut.

sungai atas sungai

Sungai Atas Sungai dan kredit gambar kepada Masjlis Daerah Selama

Pembinaan telaga gergasi ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada penduduk di kampung ini pada hari ini. Air yang mengalir menuju ke telaga gergasi ini amat deras dan anda diwajibkan supaya sentiasa berhati-hati jika ke sana untuk melihat sendiri keadaan telaga gergasi tersebut. Apa yang menariknya tentang telaga gergasi tersebut, akan tercipta biasan cahaya yang membentuk pelangi kecil di permukaan air telaga gergasi tersebut jika faktor cahaya matahari dan air yang mengalir itu selari.

majlis daerah selama

rujukan dan diolah semula oleh penceritaan dari sumber diatas

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.