Kenapa Orang Inggeris Ini Digelar Raja Putih Hulu Perak?

Raja Putih sebenarnya adalah sebuah dinasti pemerintahan sebuah keluarga orang Inggeris di Sarawak iaitu dari keluarga Brooke. Gelaran untuk orang Inggeris yang memerintah di sana adalah Raja Putih atau adakala juga turut dikenali sebagai Rajah Sarawak. Penggunaan perkataan Rajah adalah untuk membezakan gelaran keluarga diraja dengan keluarga Brooke.

Itulah serba sedikit penceritaan tentang Raja Putih di Sarawak namun apakah kaitannya dengan negeri Perak? Hari ini orangperak.com ingin ceritakan tetang kisah seorang pegawai Inggeris di negeri Perak yang juga ada gelaran Raja Putih yang diberi oleh masyarakat melayu sendiri di kawasan Hulu Perak.

Orang Inggeris itu tidak lain tidak bukan adalah seorang pegawai yang bernama Kapten Hubert Berkeley. Apa yang menariknya, Kapten Hubert Berkeley bukanlah seorang pegawai Inggeris tertinggi mahupun residen Inggeris di negeri Perak. Tetapi beliau hanyalah seorang penjawat awam iaitu sebagai pegawai daerah di Hulu Perak.

Kami pasti anda mesti tertanya-tanya kenapa seorang orang Inggeris yang hanya menjawat jawatan biasa diberi gelaran Raja Putih oleh masyarakat melayu setempat bukan? Apakah hebat dan besarkah jasa yang dibuat oleh Kapten Hubert Berkeley sehinggakan masyarakat melayu tidak kisah memberi gelaran tersebut?

Kenapa Orang Inggeris Ini Digelar Raja Putih Hulu Perak

Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Kapten Hubert Berkeley dilahirkan pada tahun 1864 dan beliau sememangnya berasal dari keluarga yang kaya dan bangsawan. Datuk beliau mempunyai gelaran Earl of Kenmare sebagai pesara kerajaan yang paling berjasa di Ireland pada tahun 1801.

Sebelum menjadi seorang pegawai daerah, Kapten Hubert Berkeley memulakan kerjaya beliau di tanah melayu sebagai seorang inspektor polis di daerah Dinding pada tahun 1886. Kemudian, beliau mula masuk ke sektor perkhidmatan awam negeri Perak pada tahun 1891. Selang 3 tahun dalam perkhidmatan, beliau dinaikkan pangkat untuk menjadi Pegawai Daerah di Klang, Selangor pada tahun 1902.

Akhirnya, Kapten Hubert Berkeley ditukarkan ke kawasan Hulu Perak dalam tahun yang sama juga. Jadi disinilah bermulanya kehidupan seorang pegawai daerah Inggeris yang bersahaja membuatkan masyarakat melayu di Hulu Perak boleh menerima kedatangan orang luar tambahan lagi dari bangsa penjajah.

Apa yang ingin kami sampaikan tentang keperibadian Kapten Hubert Berkeley adalah beliau punyai gaya hidup yang unik dan lain daripada pegawai Inggeris yang ada. Beliau bukanlah seorang yang memandang dan ikuti arus permodenan tetapi jiwa beliau lebih gemarkan suasana kehidupan tradisional bersama-sama penduduk tempatan masyarakat melayu di Hulu Perak.

Pegawai daerah Hulu Perak ini juga amat gemarkan aktiviti pertanian terutamanya penanaman padi, sayur-sayuran dan buah-buahan. Ia bukanlah satu aktiviti ekonomi utama pada waktu itu kerana perusahaan getah dan bijih timah adalah merupakan industri utama di negeri Perak.

Kenapa Orang Inggeris Ini Digelar Raja Putih Hulu Perak

Kapten Hubert Berkeley juga dikatakan turut mencipta motto sendiri untuk daerah Hulu Perak iaitu “Koh Dhulu”. Koh Dhulu sebenarnya adalah merupakan perkataan yang digunakan oleh penduduk masyarakat melayu tempatan ketika untuk mengendalikan gajah.

Apa yang menariknya lagi tentang Kapten Hubert Berkeley ini adalah beliau tidak menggunakan kereta sebagai pengangkutan utama beliau. Sebaliknya, beliau gemar gunakan kuda atau gajah sebagai “kenderaan rasmi” untuk bergerak ke mana-mana sahaja. Gajah beliau dikatakan bernama Awang Padang.

Kapten Hubert Berkeley yang mentadbir daerah Hulu Perak juga tidak sebulu dengan arahan tertinggi British. Antara contoh pelanggaran arahan yang beliau kerap lakukan adalah beliau membuka penempatan khas bagi bekas penjenayah dan berada dibawah pengawasan beliau sendiri serta menolak arus pemodenan yang cuba diperkenalkan oleh Residen Perak pada ketika itu.

Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, belia juga dikata punyai hubungan baik yang mesra serta rapat dengan penduduk tempatan. Beliau sangat kenal rapat dengan setiap ketua kampung dan tidak ada satu pun yang terkecuali. Malah ada sesetengah keluarga penduduk tempatan yang begitu rapat hinggakan beliau dapat menamakan tiga generasi keluarga berkenaan.

Kenapa Orang Inggeris Ini Digelar Raja Putih Hulu Perak

Hubert Berkeley juga tidak pernah penat untuk membantu penduduk yang berada dalam kesempitan dengan wang sakunya sendiri. Akhirnya, beliau bersara dari jawatan Pegawai Daerah Hulu Perak pada tahun 1926 yang mana pada ketika itu beliau berusia 62 tahun bersamaan dengan tujuh tahun melebihi usia persaraan kebanyakkan pegawai Inggeris pada masa itu.

Selepas bersara, Hubert Berkeley pulang ke England dan meninggal dunia pada tahun 1942.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.