Fiesta Larut 2017, Karnival Rakyat Di Batu Kurau

Tune Advertising Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Larut akan menganjurkan Fiesta Larut 2017 di Kompleks Sukan Astaka Batu Kurau, pada 14 hingga 17 September, 2017. Berkonsepkan karnival rakyat, Fiesta Larut 2017 akan mendekatkan masyarakat terutamanya anak-anak muda di Parlimen Larut dengan gaya hidup dan saingan yang sihat melalui aktiviti sukan serta aktif.

Selain itu, Fiesta Larut 2017 juga menjadi platform mencungkil bakat baharu dari kalangan penduduk tempatan dalam bidang kesukanan di samping pelbagai peluang yang akan diberikan oleh pihak kerajaan kepada usahawan-usahawan muda tempatan dalam meningkatkan perkembangan perniagaan.

Fiesta Larut 2017

Fiesta Larut 2017 bakal menjadi salah satu daya tarikan pelancong bersempena Visit Perak 2017 ini akan dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merangkap Ahli Parlimen Larut pada 16 September 2017.

Program yang berlangsung selama 4 hari ini akan dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti sukan utama seperti Badminton, Bola Sepak, Basikal, Bola Jaring, Sepak Takraw, Pertandingan Muay, Wall Climbing, Marathon dan Street Soccer bawah 12 tahun.

Diharapkan dengan penganjuran ini dapat mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat melalui acara-acara yang dianjurkan, serta mendekatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat. Selain aktiviti sukan, Fiesta Larut 2017 juga ada menyediakan pelbagai pameran dan jualan dari pelbagai kluster.

Fiesta Larut 2017

Pameran dan jualan dari pelbagai kluster tersebut diketengahkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Malaysia (KPDNKK) dengan kerjasama agensi–agensi perbadanan kerajaan bagi membuka minda pengunjung tentang industri tempatan.

Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, antara pameran dan jualan yang disajikan kepada para pengunjung yang datang adalah seperti produk-produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Jualan Borong, Oil.co, Fesyen & Aksesori serta Barangan Elektrik dan IT.

Tidak ketinggalan juga kepada peminat setia aktiviti lasak, Fiesta Larut 2017 juga turut ada menyediakan ruang dan peluang kepada para belia untuk mencabar diri melalui aktiviti lasak seperti motosikal gaya bebas dan simulator Formula One (F1).

Fiesta Larut 2017

Kemuncak kemeriahan Fiesta Larut 2017 ini akan diserikan lagi dengan penampilan istimewa artis-artis serta personaliti-personaliti terkenal tanah air negara seperti “Papa Rock” Ramli Sarip, penyanyi terkenal Faradhiya, Amalina, Farawaheeda, Khalifah, Ronnie Hussein dan Aiman Tino, pelakon jelita Janna Nick dan Ayda Jebat dan ramai lagi pada 16 September 2017.

Pengunjung juga boleh mencuba nasib dengan menyertai pertandingan Karaoke dan Cabutan Nombor Bertuah. Selain itu, program Forum Perdana Hal Ehwal Islam terbitan RTM yang dikendalikan oleh penceramah-penceramah terkenal juga bakal diadakan untuk memeriahkan karnival rakyat ini.

Maklumat lanjut tentang Fiesta Larut 2017 adalah seperti berikut:

  • Tarikh : 14 – 17 September 2017 (4 Hari)
  • Masa : 7.00 pagi – 11.00 malam
  • Tempat : Kompleks Sukan Astaka Batu Kurau, Parlimen Larut

Perasmian oleh :

  • Yang Berbahagia Dato’ Seri Hamzah Zainuddin
  • Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
  • Koperasi Dan Kepenggunaan Malaysia (KPDNKK),
  • Merangkap Ahli Parlimen Larut.

Dato’ Seri Hamzah Zainuddin

Dato’ Seri Hamzah Zainuddin

Jangan lepaskan peluang! Jika anda ada masa terluang, moh kita beramai-ramai memeriahkan majlis yang bakal berjalan selama 4 hari tersebut!

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.