Apam Balik Malindo Istimewa Di Teluk Intan

bantu kami teruskan operasi : donate

Setiap tempat yang kita kunjungi pastinya memiliki keunikan atau keistimewaan tersendiri yang sekaligus menjadi lambang kepada kawasan tersebut. Bandar Teluk Intan yang merupakan sebuah pekan lama sudah tentu mempunyai keistimewaan tersendiri terutama mengenai kepelbagaian makanan yang ada disini.

Dalam artikel kali ini orangperak.com ingin berkongsi mengenai Apam Balik Malindo yang sangat digemari oleh penduduk Teluk Intan. Sebagai pengenalan buat mereka yang kurang biasa dengan kuih tradisional ini, Apam Balik ialah kuih tradisional orang Melayu dan juga dikenali sebagai kuih Terang Bulan di Indonesia.

Apam Balik Malindo Istimewa Di Teluk Intan

Hidangan ini dihasilkan menggunakan tepung, serbuk penaik, gula, telur, santan dan air untuk dijadikan adunan. Setelah adunan tadi siap, ianya dimasukkan kedalam kuali khas untuk membuat apam balik dan kemudiannya ditambah atasnya dengan bahan-bahan seperti jagung manis, gula dan lain-lain menjadikan hidangan ini sangat lazat.

Berkenaan dengan Apam Balik Malindo ini, ianya terletak di belakang Stesen Minyak Shell dan bersebelahan dengan Menara Condong Teluk Intan. Pemiliknya Encik Ashaari telah mula berniaga apam balik disini sejak tahun 1982 dan meskipun sudah ramai yang menjual apam balik dengan pelbagai jenis apam balik, beliau tetap terus setia berniaga disini.

Apam Balik Malindo Istimewa Di Teluk Intan

Beliau menjual 2 jenis apam balik, 1 apam balik tebal dan lembut dan 1 lagi apam balik nipis dan rangup. Walaupun kini sudah ada apam balik keju, coklat, vanila dan sebagainya, Encik Ashaari tetap menjual apam balik dengan resepi sama sejak dari 1982 tanpa sebarang perubahan untuk mengekalkan keasliannya.

Apam Balik Malindo Istimewa Di Teluk Intan

Disebabkan itu mereka yang membesar di Teluk Intan walaupun sudah berhijrah ke tempat lain pasti tidak akan melupakan keenakan Apam Balik Malindo ini. Jika anda berkesempatan berkunjung ke Menara Condong Teluk Intan, jangan lupa untuk singgah dan merasai sendiri keenakan Apam Balik Malindo.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.