Almarhumah Raja Nor Mahani Raja Puan Besar Perak Yang Berjiwa Rakyat

Pada hari Selasa 3 Oktober 2017, seluruh kepimpinan dan rakyat negeri Perak dikejutkan dengan kemangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Binti Almarhum Raja Shahar Shah. Raja Nor Mahani sememangnya dikenali sebagai seorang yang sangat prihatin terhadap rakyat dan sering dilihat mencemar duli berangkat ke majlis-majlis yang melibatkan masyarakat di seluruh pelusuk negeri Perak Darul Ridzuan.

Dilahirkan pada 18 Oktober 1942, baginda merupakan puteri sulung kepada Raja Haji Shahar Shah Bin Raja Kechil Sulong Harun Al-Rashid dan Che Yang Sharifah Binti Toh Muda Lope Abdul Rahman. Almarhumah Raja Nor Mahani menerima pendidikan awal Sekolah Raja Chulan di Ipoh dan baginda juga merupakan bekas pelajar St. John Insitution di Kuala Lumpur serta Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Raja Nor Mahani 1

Raja Nor Mahani menyampaikan sumbangan

Almarhumah telah disunting untuk menjadi suri buat Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Dato’ Seri Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa pada tahun 1970 dan pasangan diraja ini telah dikurniakan seorang putera bernama Raja Shah Azman serta seorang puteri yang diberi nama Raja Nor Azwina.

Raja Nor Mahani

Raja Nor Mahani dikurniakan gelaran Raja Puan Muda Perak apabila suaminya, Raja Jaafar Raja Muda Musa, diisytihar sebagai Raja Di-Hilir Perak pada 1998. Kemudian Raja Nor Mahani dimasyhurkan sebagai Raja Puan Besar Perak pada 1 Julai 2014 di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar. Penglibatan almarhumah dalam bidang kemasyarakat tiada tolok bandingnya. Baginda sememangnya prihatin dengan segala permasalahan rakyat dan alam sekitar.

Dalam hal konservasi Sungai Perak misalnya, baginda menitikberatkan isu penjagaan Sungai Perak daripada dicemarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Diatas keprihatinan baginda terhadap sungai yang menjadi lambang negeri Perak itulah yang mendorong baginda untuk menulis sebuah buku yang bertajuk ‘Silver Waters’ sebagai panduan untuk melestarikan sungai tersebut dan pemuliharaannya.

Raja Nor Mahani 3

Baginda juga pernah menulis buku ‘Warisan Santapan Darul Ridzuan’ yang mengandungi 137 muka surat terbitan Qalam Seri Ridzuaniah Sdn Bhd pada tahun 1999 bagi memelihara resepi tradisi negeri Perak dari hilang diarus masa. Raja Nor Mahani juga merupakan bekas Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan sentiasa bersemangat untuk menjayakan setiap program persatuan berkenaan serta melaksanakan tanggungjawabnya dalam majlis penyampaian sumbangan kepada pesakit kanak-kanak.

Raja Nor Mahani 5

Jenazah Almarhumah Raja Puan Besar Perak dibawa menggunakan Pedati Seraja Diraja

Baginda turut menjayakan program turun padang bersama anggota persatuan serta aktif dalam program pemuliharaan hutan simpan di negara ini. Baginda telah menabur bakti selama tujuh tahun dalam persatuan itu dan empat hari yang lepas merupakan hari terakhir baginda berkhidmat sebagai Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Almarhumah Raja Nor Mahani mangkat pada usia 75 tahun pada 5.07 petang sebelum jenazahnya dibawa pulang dan disemayamkan di Istana Ar-Ridzuan, Jalan Raja Di Hilir, Ipoh.

Raja Nor Mahani 6

Raja Muda Jaafar menyiram air mawar keatas makam isterinya

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Ubudiah dan tiba pada 3.10 petang hari ini dengan menaiki pedati khas ‘Seraja Diraja’ dari Galeri Sultan Azlan Shah untuk disembahyangkan sebelum disemadikan. Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengetuai adat menabur bunga mawar dan menyiram air mawar diikuti Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Jaafar; Raja Dihilir Perak, Raja Puan Muda Perak, pembesar-pembesar negeri dan rakyat jelata.

Orangperak.com mengucapkan salam takziah kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Dato’ Seri Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa, seluruh keluarga diraja serta rakyat negeri Perak Darul Ridzuan diatas kemangkatan Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Binti Almarhum Raja Shahar Shah. Semoga Allah menempatkan roh almarhumah disamping hamba-hambaNya yang beriman. Al-Fatihah.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.